Sunday, April 13, 2008

Pil perancang: Kenapa masih ‘termengandung’?



TURUT dikenali sebagai oral kontraseptif, pil ini berkesan dan selamat untuk kebanyakan wanita. Dengan mengetahui fungsi sistem reproduksi, anda akan memahami dengan lebih baik bagaimana pil perancang keluarga bertindak.
Wanita mempunyai dua ovari di sebelah kiri dan kanan badannya di mana pada setiap bulan, salah satu daripada ovari ini akan mengeluarkan telur ke salur fallopio untuk disenyawakan dengan sperma.

‘‘Lazimnya pengeluaran telur ini berlaku di antara 12 hingga 14 hari sebelum datangnya haid yang berikutnya.
‘‘Puan boleh mengandung sekiranya berlaku hubungan kelamin semasa julat masa tersebut. Sperma yang diejakulasi (dipancut) akan berenang ke tiub fallopio untuk berjumpa dengan telur yang dikeluarkan.
‘‘Telur yang disenyawakan ini kemudiannya akan ke dinding rahim untuk diimplantasi (disemat), seterusnya membesar sebagai janin,’’ kata Pakar Perunding Perbidanan dan sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.
Menurutnya, pil perancang keluarga mempunyai hormon yang menghalang ovulasi dari berlaku. Ia mengubah mukus pada pangkal rahim dan juga mengubah suai dinding rahim, lantas menghalang implantasi.

Akibatnya, sperma tidak dapat memasuki pangkal rahim. Kombinasi kedua-dua ini menghalang seseorang wanita daripada mengandung.
Dr. Shah Reza berkata, pil sangat berkesan sebagai kontraseptif yang dapat melindungi wanita. Jika betul penggunaannya, kurang dari satu dalam 100 akan ‘termengandung’ dalam masa setahun.
‘‘Namun demikian, lazimnya lapan peratus pengguna biasa akan ‘termengandung’ disebabkan oleh kecuaian dari segi memakan pil ataupun mungkin pil tidak dapat diserap disebabkan oleh permasalahan muntah-muntah.
‘‘Sekiranya ini berlaku, puan terpaksa menggunakan kaedah lain untuk mencegah daripada termengandung,’’ ujar beliau.

Walaupun pil itu senang digunakan serta dapat menyelamatkan keadaan, ia tidak melindungi anda dari penyakit tularan seksual. Jika anda berisiko tinggi, lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga dengan pemakaian kondom dan ubat pembunuh sperma.
Bila seseorang wanita itu tidak boleh menggunakan kaedah kontraseptif/pil perancang keluarga.
1. Pil yang mempunyai kombinasi kedua-dua hormon tidak elok untuk
* Perokok yang berumur 35 tahun ke atas
* Mempunyai masalah kesihatan dari segi pembekuan darah
* Baru bermula untuk menyusu badan. Hormon kombinasi boleh mengurangkan isipadu susu badan, dibenarkan hanya apabila aliran serta jumlah susu badan telah stabil pengeluarannya.
2. Sekiranya pil kombinasi tidak boleh digunakan, anda boleh juga menggunakan pil yang hanya mengandungi progesteron. Pil sedemikian mempunyai risiko-risiko tersendiri dan anda tidak boleh mengambilnya jika anda
* Berisiko atau mempunyai barah payudara
* Berlaku pendarahan yang banyak, tidak teratur
* Mempunyai masalah fungsi hati.
Kebanyakan wanita menggunakan pil kombinasi. Banyak jenama yang terdapat di pasaran, anda boleh memilih jenama yang bersesuaian.
Cara-cara pemakanan pil kontraseptif kombinasi
Bergantung pada kesesuaian serta nasihat doktor anda, kaedah penggunaannya diterangkan seperti berikut:
* Menggunakan pil pada hari pertama haid. Dengan cara ini anda tidak perlu melindungi dari termengandung dengan penggunaan kaedah sementara yang lain
* Anda juga boleh memakan pil pada hari-hari tertentu setelah haid bermula contohnya pada hari Ahad. Dengan cara ini anda mesti menggunakan kaedah kontraseptif lain untuk julat masa tujuh hari sebagai pelindung untuk minggu pertama kitaran.
* Ada juga wanita yang mengamalkan pil sebaik sahaja ia dibeli, tidak kira di mana anda berada dalam kitaran haid sekarang. Cara ini, anda harus menggunakan kaedah kontraseptif lain untuk julat masa sebulan. Pastikan yang anda juga tidak termengandung semasa pil pertama dimakan.

Tidak kira hari mana yang anda pilih, lazimnya, kata Dr. Shah Reza, anda akan menggunakan pek pil perancang yang baru pada hari yang sama seperti pek yang sebelumnya.
‘‘Sebaik-baiknya puan mempunyai pek yang baru supaya puan terselamat sekiranya pek asal untuk bulan tersebut hilang atau tersalah letak.
‘‘Puan juga mungkin terlupa untuk mengambil pil-pil tersebut, jadi sekurang-kurangnya anda mempunyai stok simpanan di dalam tas tangan,’’ jelasnya.
Tambah beliau, pil hanya berkesan sekiranya anda teratur dalam pengambilannya, tidak kira walaupun anda mungkin mempunyai pendarahan semasa pengambilan mahupun mengalami loya-loya atau muntah-muntah.

Hubungilah jururawat atau doktor yang mempreskripsikan pil tersebut. Pengambilan pil juga harus diteruskan walaupun hubungan kelamin tidak kerap.
Pil juga memerlukan penyerapan yang efektif/berkesan di dalam sistem pencernaan. Jika anda mengambil antibiotik, ia mungkin mengganggu penyerapan ubat, juga sekiranya anda muntah-muntah sentiasa, keberkesanan ubat sekarang menjadi persoalan.
Anda harus melindungi diri dengan menggunakan kaedah-kaedah lain.
Pil-pil yang anda beli mungkin mengandungi 21,28 ataupun 91 biji
* Pek yang mempunyai 21 biji: Amalkan pengambilan pil pada masa yang sama setiap hari untuk 21 hari. Kemudian, tunggu tujuh hari sebelum pek baru digunakan.
Semasa ini anda akan mengalami pendarahan haid. Pengambilan pil dari pek yang baru pada hari yang sama anda mengambil pil pertama dari pek yang lampau.
* Pek yang mempunyai 28 biji: Juga amalkan pengambilan pil-pil tersebut pada masa yang sama setiap hari untuk 28 hari.
Tujuh pil terakhir tidak mempunyai apa-apa nilaian hormon. Setelah selesai 28 biji, keesokan harinya, mulakan dengan pek yang baru. Tidak ada hari rehat dari pengambilan pil.
* Pek yang mempunyai 91 biji: Juga dikenali sebagai dos selanjar, pengambilan pil pada masa yang sama untuk 91 hari. Hanya 84 pil pertama sahaja yang mempunyai nilaian hormon manakala tujuh yang terakhir tidak ada hormon di dalamnya.
Anda akan mengalami pendarahan pada masa tersebut. Jadi untuk tempoh setahun, anda akan mempunyai empat pendarahan haid sahaja. Ada juga wanita setelah mengamalkan pil-pil ini langsung tidak datang haid.

Kebaikan kaedah pil perancang keluarga
Walaupun matlamat utamanya adalah untuk melindungi dari termengandung, ia juga memberikan manfaat dari segi mengurangkan kebarangkalian anda mendapat penyakit-penyakit tertentu.
Antaranya kanser rahim dan kanser telur, sista telur, infeksi/jangkitan organ peranakan, tulang rapuh, penyakit-penyakit payudara bukan kanser, rungutan sindrom ovari polisistik, kekurangan darah/anemia, kehamilan luar rahim dan jerawat.
Kata Dr. Shah Reza lagi, pil perancang juga menjadikan kitaran haid seseorang teratur manakala jumlah darah yang keluar turut berkurangan.
‘‘Masa datang bulan juga pendek, begitu juga dengan kekejangan abdomen yang kurang. Rungutan yang terhasil oleh penyakit-penyakit seperti endometriosis, fibroid, migrain dan juga kemurungan berkurangan dengan penggunaan pil.
‘‘Pil tidak meningkatkan risiko kanser payudara sekiranya puan mempunyai sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit yang sama,’’ ujar beliau.

Pil perancang kecemasan
Juga terdapat dalam dua persedian hormon, secara kombinasi dan juga progesteron sahaja. Pengambilannya berkesan dalam masa 120 jam (lima hari) setelah menjalani hubungan kelamin.
Pil yang mengandungi hormon progesteron sahaja
Merupakan pilihan untuk mereka yang tidak boleh menggunakan hormon estrogen kerana permasalahan dengan pembekuan darah.
Mereka yang baru bermula dengan penyusuan dada juga dinasihatkan menggunakan pil hormon secara tunggal.
Ada juga mereka yang tidak tahan dengan kesan sampingan pil perancang secara kombinasi estrogen-progesteron.
Walaupun pil yang mempunyai progesteron sahaja tidak sebaik pil kombinasi, pil ini juga dapat melindungi anda dari kanser rahim dan telur, penyakit payudara yang tidak serius dan penyakit keradangan di pelvis.

Kesan sampingan pil perancang keluarga

Rungutan yang biasa adalah seperti sakit kepala, loya-loya, pening-pening lalat, pendarahan yang berlaku di luar jangkaan, mungkin juga haid tidak datang langsung, kemurungan dan rasa cemas.
‘‘Puan boleh mengambil pil perancang pada waktu malam supaya rungutan tersebut berkurangan pada waktu tidur. Sakit kepala boleh diringankan dengan mana-
mana ubat penahan sakit.
‘‘Mereka yang menggunakan ubat progesteron sahaja mungkin mengalami pendarahan di luar waktu jangkaan.
‘‘Jika puan gagal mengamalkan penggunaan pil secara teratur, termengandung terjadi. Sekiranya pil perancang ini masih diamalkan, puan tidak perlu takut, ia tidak meningkatkan risiko kecacatan janin,’’ jelas Dr. Shah Reza.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya amalan pengambilan pil perancang tidak teratur?
Anda mungkin lupa untuk mengambil pil, mungkin juga kerana kesibukan, pil lupa dibawa.
* Sekiranya hanya satu pil sahaja dilupakan, ambil pil tersebut sebaik sahaja anda mengingatinya.
* Ambil pil berikutnya pada waktu rutin anda untuk pil sebelumnya. Tidak apa jika dua pil dimakan untuk sehari, cuma anda mungkin merasai ketidakselesaan, loya-loya dan mungkin pening-pening lalat.
* Sekiranya dua biji atau lebih pil lupa untuk diambil, bulan tersebut tidak lagi selamat. Anda harus menggunakan kaedah perancangan yang lain.
Anda mungkin mengalami pendarahan, jangan khuatir, ia tidak membahayakan. Teruskan pil-pil yang masih ada supaya kesinambungan cara pengambilan tidak terganggu walaupun ia tidak lagi berupaya untuk melindungi.

- sumber internet

No comments: