Thursday, June 24, 2010

Pantun Merisik

Lazimnya sebelum adat peminangan dilakukan, pihak keluarga lelaki akan menjalankan satu kemestian mengikut adat Melayu, iaitu adat merisik. Adat merisik ini dilakukan secara ziarah oleh pihak lelaki bagi tujuan menetapkan tarikh, bagi majlis peminangan. Ianya dijalankan secara ringkas, kebiasaannya dengan sedikit jamuan teh.

Acara merisik ini juga boleh dijalankan dengan diselang-selikan dengan acara berpantun. Ianya bertujuan mengekalkan lagi budaya berpantun didalam masyarakat kita. Kepada yang bakal menjalankan majlis merisik disarankan menghafal pantun-pantun dibawah,bagi tujuan tersebut.

Pantun Merisik:

Pohonnya rendah dahannya rendah
Bertebar ke bumi buah bidara
Minum sudah sirihpun sudah
Bolehlah kami buka bicara \

Rebus laksa lalu disejat
Jangan terkurang letak kuahnya
Kami datang membawa hajat
Hajat orang kami penyampainya

Mengapa pipit terbang rendah
Siraja udang menangkap ikan
Air sudah sirihpun sudah
Hajat apa sila khabarkan

Bulan bintang hendak dipanjat
Tali sabut siap dipintalkan
Kami datang membawa hajat
Hajat disambut lalu diutuskan

Ditengah rimba singgah raja
Berasa gusar membina kota
Bukan hamba datang sahaja
Niat besar tidak terkata

Ada berapa kuntum Melati
Cukupkah dikalungkan
Ada apa niat dihati
Mengapa tidak disampaikan

Ukiran tersusun diatas rusuk
Bunga raya di atas baki
Kedalam rumah sudah saya masuk
Diatas kerusi sudah saya duduki

Penat sudah membajak bendang
Mempelam ranum bekalan kakak
Air manis sudah terhidang
Jemput minum membasah tekak

Ku semai padi penuh sebendang
Selepas sehari-hari membajak
Hari ini saya bertandang
Datang kemari membawa hajat

Jentayu burung di awan
Batu gemala penghias mahkota
Tepak sirih di atas puan
Itulah mula pembuka kata

0 comments: